Sabtu, 3 April 2010

kenapa mesti jauhi rokok?

Dewasa kini, merokok dianggap suatu kebiasaan yang diterima umum secara meluas dalam masyarakat kita. Terutamanya kepada mereka yang menggemari hobi merokok ini sehinggakan merokok dipandang sebagai satu norma yang membanggakan. Anggapan palsu ini terhasil apabila golongan yang mudah terpedaya dengan budaya asing, terutamanya yang dipaparkan melalui media massa. Mereka yang gemar kepada rokok ini beranggapan bahawa rokok melambangkan kecanggihan, keunggulan dan sesuatu yang bergaya di kaca mata mereka. Malah tabiat suka meniru dan menyeleweng dari jalan yang benar adalah sesuatu yang kian menguasai anak-anak muda di zaman ini.

Pengaruh rokok terhadap anak-anak muda zaman kini amat memberi kesan buruk kepada kehidupan mereka. Ada di kalangan mereka sanggup mencuri duit emak bapa semata-mata kerana rokok. Sanggup ponteng sekolah, lepak di sana sini, di kaki lima, hanya semata- mata menghabiskan masa dengan merokok. Alangkah baiknya jika masa mereka itu dimanfaatkan untuk perkara-perkara yang berfaedah, Gara-gara rokok habis akhlak dan masa mereka terabai.Bukankah perkara ini suatu yang merosakkan minda dan pemikiran mereka. Rokoklah antara perkara yang terawal yang membawa mereka terjebak dengan dadah.Musuh utama negara.Ketagihan kepada rokok menyebabkan mereka berjinak-jinak dengan dadah untuk mendapatkan kepuasan yang maksima dalam kehidupan mereka. Jika tidak, mereka akan berasa tidak berupaya dan bersemangat untuk melakukan kerja harian mereka.

Apakah bahan-bahan yang terkandung di dalam rokok? Apakah kita tahu akan bahan-bahan yang terkandung di dalamnya? Untuk pengetahuan umum, kajian mendapati bahawa setiap batang rokok yang dinyalakan akan mengeluarkan lebih 4 000 bahan kimia beracun yang membahayakan dan boleh membawa maut. Dengan ini setiap sedutan itu menyerupai satu sedutan maut. Di antara kandungan asap rokok termasuklah bahan radioaktif (polonium-201) dan bahan-bahan yang digunakan di dalam cat (acetone), pencuci lantai (ammonia), ubat gegat (naphthalene), racun serangga (DDT), racun anai-anai (arsenic), gas beracun (hydrogen cyanide) yang digunakan di "kamar gas maut" bagi pesalah yang menjalani hukuman mati, dan banyak lagi. Bagaimanapun, racun paling penting adalah tar, nikotin dan karbon monoksida.

Tar mengandungi sekurang-kurangnya 43 bahan kimia yang diketahui menjadi penyebab kanser (karsinogen). Bahan seperti benzopyrene iaitu sejenis policyclic aromatic hydrocarbon (PAH) telah lama disahkan sebagai agen yang memulakan proses kejadian kanser.

Nikotin, seperti najis dadah heroin, amfetamin dan kokain, bertindak balas di dalam otak dan mempunyai kesan kepada sistem mesolimbik yang menjadi punca utama penagihan. Sindrom ketagihan terhadap nikotin yang ditunjukkan dengan gejala gian, tolerans dan tarikan, adalah mungkin lebih hebat berbanding najis dadah. Malah daripada kajian saintifiknya nikotin itu juga sejenis najis dadah, sepertimana yang telah diiktiraf oleh dunia perubatan. Seseorang yang kehabisan rokok kadangkala berkelakuan seperti mengalami gangguan akal dan dalam keadaan yang amat tertekan sekali. Oleh itu terlalu sukar untuk sesiapa yang telah terjerat dengan ketagihan merokok, meninggalkan tabiat itu untuk selamanya, kecuali dengan ikhtiar yang serius dan kehendak Allah jua.

Nikotin turut menjadi punca utama risiko serangan penyakit jantung dan strok. Hampir satu perempat mangsa pesakit jantung adalah hasil punca dari tabiat merokok. Di Malaysia, sakit jantung merupakan menyebab utama kematian sementara strok adalah pembunuh yang keempat.

Karbon monoksida pula adalah gas beracun yang biasanya dikeluarkan oleh ekzos kenderaan. Gas ini menjejaskan bekalkan oksigen ke tisu-tisu hingga ianya menjadi terencat dan akhirnya boleh menyebabkan maut sekiranya paras karbon monoksida di dalam badan melebihi 60%.

Maka dapat disimpulkan di sini, bahawa apabila racun rokok itu memasuki tubuh manusia ataupun haiwan, ianya akan membawa kepada kerosakan pada setiap organ disepanjang laluannya, iaitu bermula dari hidung, mulut, tekak, saluran pernafasan, paru-paru, saluran penghadaman, saluran darah, jantung, organ pembiakan, sehinggalah ke saluran kencing dan pundi kencing, iaitu apabila sebahagian dari racun-racun itu dikeluarkan dari badan. Lantas ianya membawa kesan yang amat buruk kepada perkembangan badan dan mengakibatkan banyak penyakit.

0 ulasan: