Isnin, 28 September 2009

Binalah Akhlak Islam

Kemuliaan akhlak adalah matlamat utama bagi ajaran Islam sesuai dengan sifat Islam itu sendiri iaitu syumul. Islam tidak hanya menitikberatkan kepada soal aqidah dan ibadah semata-mata di dalam ajarannya, malah akhlak menjadi perhatian utama dalam pembentukan keperibadian muslim penganutnya.Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.
Sekiranya seorang muslim itu kuat ibadahnya, tetapi buruk akhlak dan perangainya maka tiada sempurnalah imannya kerana akhlak itu mencerminkan keseluruhan keperibadiannya.Justeru,adalah tidak dikira beriman seseorang yang tidak berakhlak.Berhubung hal inilah Rasulullah menyatakan : Bukanlah iman itu hanya dengan cita-cita, tetapi itu ialah keyakinan yang tertanam di dalam hati dan dibuktikan dibuktikan dengan amalan.


PENGERTIAN AKHLAK


Dari segi bahasa: perkataan akhlak berbentuk jamak daripada perkataan al- khuluq atau al-khulq, yang bererti tabiat atau budi pekerti.
Dari segi istilahnya pula,menurut Ibn Miskawayh dan al-Ghazali, akhlak adalah “suatu keadaan yang melekat pada jiwa manusia, yang darinya lahir perbuatan-perbuatan dengan mudah, tanpa melalui proses pemikiran atau pertimbangan”.Keadaan jiwa ini terbahagi kepada dua bentuk. Pertama, sifat-sifat yang telah ada semenjak kejadian manusia. Kedua, sifat-sifat yang diperolehi dengan pembiasaan dan latihan.
Perkataan akhlak tidak disebut di dalam al-Quran kecuali di dalam bentuk mufrad(tunggal) yang disebutkan di dalam al-Quran sebanyak dua kali.1
Tetapi di dalam hadis perkataan akhlak sering diguna sama ada dalam bentuk tunggal mahupun jamak.

____________________
(1)al-Quran, al-Qalam 68:4, al-Syuara’ 26:137.

PERKAITAN JIWA,HATI DENGAN AKHLAK.

Para ulama’ mengaitkan akhlak dengan keadaan an-nafs(jiwa) dalam perbincangan sesama mereka yang ditinjau dari segi lahirnya. “Jiwa adalah daging berbentuk sanubari terletak dipinggir dada sebelah kiri,di dalamnya terdapat ruang yang dalam ruang itu ada darah hitam, dan merupakan sumber nyawa.Sedangkan dari segi batinnya, makna jiwa sinonim dengan makna ruh,akal, dan nafsu iaitu hakikat manusia yang halus bersifat rohani dan merupakan bahagian dari manusia yang dapat merasa ,mengetahui,dan mengenal”.
Jiwa manusia mempunyai empat bentuk kekuatan atau keutamaan iaitu kekuatan berfikir(hikmah), kekuatan syahwat(‘iffah), kekuatan marah(syaja’ah), dan kekuatan keseimbangan(‘adalah)
Hikmah adalah keadaan jiwa yang dengannya dapat kita ketahui perbezaan antara hak dan batil pada segala perbuatan ikhtiari(pilihan). ‘Iffah pula ialah terdidiknya kekuatan syahwat dengan pendidikan akal dan syarak. Syaja’ah ialah keadaan marah yang tunduk kepada akal mengenai maju atau mundurnya.Manakala ‘Adalah ialah keadaan jiwa yang dapat mengarahkan nafsu marah dan nafsu syahwat untuk mengikuti panduan hikmah.


Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa akhlak itu berpusat di hati atau jiwa.Dari hati itulah terpancarnya akhlak yang terpuji atau yang keji.Justeru itu menurut beliau,akhlak lebih menekankan hati dan keikhlasan.Keikhlasan itu melambangkan kebebasan memilih dan kerelaan hati. Malah akhlak yang mulia dan keji itu tidak semata-mata patuh kepada pertimbangan akal.Tetapi hati nuranilah yang menentukannya berasaskan kepada wahyu daripada Allah.
Beliau juga mengatakan lagi bahawa akhlak itu berpusat di hati dengan mendatangkan hadis yang bermaksud: “ ketahuilah bahawa di dalam badan itu ada seketul daging ,apabila ia baik maka baiklah keseluruhannya,dan apabila ia buruk maka buruklah keseluruhannya,ketahuilah itulah hati”.
Menurut Al-Ghazali lagi ,hati adalah sumber roh, jiwa, atau nyawa yang menyempurnakan hakikat kemanusiaan. Hati juga berfungsi sebagai daya yang boleh menangkap segala pengertian ilmu pengetahuan dan bersifat ketuhanan.Bersifat ketuhanan dalam erti kata bahawa hati menjadi sasaran segala perintah dan larangan Allah.


TEORI AL-GHAZALI DALAM PEMBENTUKAN AKHLAK


Terdapat empat peringkat yang dicadangkan oleh Imam Al-Ghazali dalam mengasuh hati agar terbentuknya akhlak yang terpuji.
A) Ilmu
Ilmu yang dimaksudkan disini ialah ilmu-ilmu yang dapat mendidik hati agar dapat membezakan antara yang benar dan yang salah . Sumber ilmu tersebut ialah al-Quran dan Hadis yang menjadi sumber wahyu utama di dalam Islam.Dengan adanya wahyu ini,maka ianya menjadi petunjuk kepada sekalian manusia dalam segala bentuk kehidupannya sama ada syariatnya,ibadah dan segala hukum- hakam.
B) Latihan
Pengasuhan terhadap hati perlu diterapkan melalui latihan yang berupa mendidik jiwa agar lahirnya akhlak yang terpuji. Jika seseorang itu ingin menjadi seorang yang berakhlak mulia, maka hendaklah dia sentiasa berlatih melakukannya hingga menjadi adat kebiasaan yang tidak dapat dikikis oleh faktor persekitaran, masa dan suasana.
C) Penundukan nafsu dan syahwat
Kedua-dua unsur ini perlu dikawal supaya hati dapat terselamat daripada tekanan dan dorongan kepada akhlak yang keji.Hal ini kerana nafsu dan syahwat menjadi dorongan yang kuat untuk melakukan sesuatu yang keji. Maka kedua-dua unsur ini perlu menjadi perhatian utama dalam mendidik jiwa dan hati agar tidak melakukan sesuatu yang keji.



D) Adil
Adil pada hati yang dimaksudkan oleh Imam Al-Ghazali ialah daya yang menggerakkan perlaksanaan tingkah laku atau akhlak yang terpuji berdasarkan kepada ketentuan aqidah, syarak dan akhlak yang disarankan oleh Allah.Dengan pertimbangan hati dan akal ,jika perintah Allah itu tidak dilaksanakan dalam bentuk tingkah laku ,maka seseorang itu tidak berlaku adil pada dirinya sendiri.

GOLONGAN MANUSIA DAN PERLAKUAN AKHLAKNYA

Selanjutnya Imam Al-Ghazali mengemukakan empat golongan manusia beserta dengan akhlaknya. Pertama, manusia yang jahil.Mereka ialah manusia yang tidak dapat membezakan antara akhlak yang baik dan keji.Hatinya kosong daripada nilai-nilai dan kepercayaan yang boleh memimpinnya untuk mencari kebenaran dan menghapuskan kebatilan.Lantas nafsu dan syahwatnyalah yang memimpin tingkah lakunya.Menurut Imam Al-Ghazali, golongan ini mudah untuk diubati kerosakan akhlaknya.Ianya memerlukan kepada seorang guru yang melatihnya supaya bermujahadah untuk menundukkan nafsu dan syahwatnya dengan memberikan keutamaan pada akhlak yang terpuji.
Kedua, Manusia yang sesat.Meraka ialah manusia yang tahu membezakan antara yang baik dan yang buruk sesuatu akhlak itu,tetapi tidak pernah mengamalkannya. Malah sentiasa mengikut nafsu dan syahwatnya dalam keadaan sedar akan kelalaiannya. Pembentukan akhlak terhadap golongan ini agak sukar.Hal ini kerana keimanan perlu difahamkan terlebih dahulu sebelum melatih dirinya menjauhkan diri daripada akhlak yang keji.
Ketiga, manusia yang fasiq. Mereka ialah golongan yang mempercayai bahawa akhlak yang keji merupakan satu kewajipan yang perlu dilakukan oleh manusia. Akhirnya, akhlak yang keji itu dianggap benar. Golongan ini hampir mustahil untuk diubati dan jelas kesesatannya berbanding golongan yang jahil dan sesat.
Keempat, manusia yang jahil, sesat dan fasiq.Mereka ialah golongan yang merasa bangga melakukan akhlak yang keji. Mereka yakin akan dapat meningkatkan darjat dan kedudukan mereka dalam masyarakat.Golongan ini mustahil sama sekali untuk dibaiki.

MEMPERBAIKI AKHLAK MENURUT PANDANGAN AL-GHAZALI

Imam Al-Ghazali mengemukakan tiga tindakan susulan untuk memperbaiki akhlak seseorang. Antaranya ialah, niat. Seseorang itu mestilah berniat bersungguh-sungguh di dalam hati untuk meninggalkan segala akhlak yang buruk dan keji. Niat berperanan dalam mewujudkan keupayaan kepada seseorang untuk melaksanakan akhlak yang terpuji secara beransur-ansur.
Kedua, muhasabah. Seseorang itu perlu mengira dan menghitung diri (muhasabah) secara adil terhadap semua akhlak yang baik dan keji sebelum melakukan sesuatu secara berterusan dari semasa ke semasa.
Ketiga, muraqabah. Akhirnya seseorang itu mestilah berwaspada dan berhati-hati agar segala kejahatan dapat disekat dan hanya akhlak yang terpuji dan baik sahaja yang diamalkan .

Akhlak mencerminkan peribadi seseorang muslim kerana akhlak adalah sebahagian daripada iman.Seseorang yang tidak berakhlak itu,maka dia adalah dari kalangan orang yang kurang imannya.Justeru,kertas kerja ini memberi sedikit sebanyak pandangan dan manhaj ulama’ berkenaan mendidik jiwa agar berakhlak mulia dengan akhlak Islam.


RUJUKAN:

Imran Effendy Hasibuan.(2003).Pemikiran akhlak Syekh Abdurrahaman Shiddiq al-Banjari.Riau:LPNU Press.

Mustaffa Daud.(1995).Budi bahasa dalam tamadun Islam.Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mustaffa Abdul Rahman.(2005).Hadith 40 terjemahan dan syarahnya.Selangor:Dewan Pustaka Fajar.

Khamis, 10 September 2009

perundangan Islam

Semua peraturan dalam ajaran Islam yang berteraskan kepada al-Quran dan al- Sunnah yang ditetapkan oleh Allah SWT adalah amat bersesuaian kepada hambanya dan ia merupakan perundangan yang teragung sekali bagi perundangan Islam.Dalam konteks sosial, adalah menjadi matlamat perundangan ini untuk melahirkan sebuah masyarakat harmoni yang merangkumi individu dan keluarga seca­ra keseluruhannya. Matlamat ingin menjadikan masyarakat yang sempurna mestilah dimulakan dengan didikan Islam terhadap individu muslim itu dahulu. Secara berperingkat, kesan daripada didikan tersebut akan melahirkan individu yang berkualiti dari kacamata Islam sehinggalah kepada masyarakat.

Fikiran umum yang baik.

Dalam melahirkan masyarakat Islam yang harmoni, proses pengasuhan jiwa dan budipekerti yang mulia hendaklah diterapkan dalam setiap diri anggota masyarakat. Justeru, pembentukan pemikiran umum yang baik memainkan peranan penting dalam mencapai matlamat kemasyarakatan ini. Menyeru kepada kebaikan dan menegah kepada kemungkaran adalah pemikiran umum yang perlu dibentuk dalam benak fikiran masyarakat kerana pemikiran umum inilah yang akan mengawasi segala tindak tanduk mereka sehinggakan mereka berani mengatakan kebenaran dan mengatakan tidak pada kemungkaran. Pembentukan pemikiran umum yang baik tidak sekali-kali akan mengecewakan individu kerana ianya memberikan kebaikan kepada masyarakat sekitarnya.

Justeru, Islam menggalak­kan penganutnya agar melakukan perkara-perkara yang makruf dan melarang melakukan perkara-­perkara yang mungkar. Islam juga menggesa penganutnya agar memberikan bimbingan dan pan­duan bagi menghalang orang yang sesat dari melakukan keburukan. Dengan adanya bimbingan dan pertunjuk dari orang-orang yang mulia, masyarakat akan berada dalam kebaikan. Dengan demikian, al-Qur'an menganggap "galakan untuk melakukan makruf dan melarang dari perbuatan mungkar" sebagai simbol atau tanda bagi "umat atau bangsa yang mulia", firman Allah, maksudnya: "kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia yang menyeru kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar dan beriman kepada Allah.

Islam menganggap orang yang melakukan kesalahan dan dosa sebagai penghancur dan perosak sendi-sendi masyarakat. Seandainya, orang-orang yang baik tidak menegur mereka, maka dibimbangi mereka akan terhumban dalam lembah keburukan dan di sebalik keburukan itu ialah kehancuran yang akan meruntuhkan sesuatu bangsa.

Islam juga menjelaskan bahawa perbuatan mendiamkan diri dari menyeru ke arah perkara makruf dan melarang daripada perkara yang mungkar akan membawa kepada perpecahan suatu bangsa dan akan memutuskan hubungan silatulrahim, hubungan kekeluargaan, bangsa dan agama di antara anggota-anggotanya, kerana keburukan akan membawa kepada perpecahan manakala kebaikan membawa kepada ke­satuan dan perpaduan.

Perpaduan dapat dibina atas dasar kebaikan. Sifat ini bukan sahaja dapat menjalinkan perpa­duan di antara individu di dalam suatu bangsa, malah ia dapat memupuk perpaduan di kalangan pelbagai bangsa. Andainya konsep "keadilan" dapat dipraktikkan dan dijadikan dasar dalam setiap negara, maka sudah tentu peperangan dapat dielakkan dan perasaan dengki serta iri hati antara masyarakat dunia akan turut lenyap. Andainya konsep "pemberian ikhlas" yang diasaskan kepada perasaan kasih sayang dapat, dijalankan antara negara- negara di dunia ini dan juga antara satu individu dengan individu yang lain, maka sikap mementingkan diri dan tamak kepada kekayaan harta benda dapat dielakkan. Bahkan, akan wujud perasaan mahabbah dan mengutamakan orang lain berbanding diri sendiri.

Keadilan merupakan teras dalam perundangan Islam. Tanpa keadilan, sistem sosial masyarakat Islam khususnya akan tidak sempurna. Firman Allah yang bermaksud, "sesungguhnya Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan membawa b,akti-bukti yang nyata dan telah Kami turunkan bersama-sama mereka al-Kitab dan neraca supaya manusia dapat melaksanakan keadilan dan Kami cip­takan besi yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan berbagai manfaat bagi manusia". Jadi, ber­dasarkan ayat ini jelaslah bahawa keadilan merupakan syiar bagi seluruh agama khususnya agama Islam yang dibawa oleh para Anbia..Keadilan itu terbahagi kepada tiga bahagian iaitu keadilan undang-undang, keadilan sosial (masyarakat) dan keadilan sejagat (antarabangsa).

Keadilan undang-undang

Apa yang dimaksudkan dengan "keadilan undang-undang" ialah bahawa undang-undang itu dikenakan ke atas semua orang secara sama rata tanpa dibezakan di antara yang kaya dengan yang miskin dan tanpa sebarang perbezaan berdasarkan warna kulit, bangsa mahupun agama, juga tanpa sebarang perbezaan di an­tara orang yang jahil dengan orang yang terpelajar, malah ke semua mereka adalah sama sahaja di sisi undang-undang.

Keadilan sosial

Keadilan sosial bertujuan supaya setiap orang dapat hidup di dalam masyarakatnya dengan kehidupan yang mulia tanpa sebarang penindasan dan juga memberi kesem­patan kepada mereka untuk memperguna kebolehan yang ada padanya untuk faedah diri dan juga untuk faedah masyarakat.

Keadilan sosial tidaklah bertujuan supaya ke­miskinan dapat dihapuskan dalam kehidupan ini, malah ia hanya bertujuan supaya dapat diringankan sedikit ke­sengsaraan yang dihadapi oleh golongan miskin supaya ia tidak merasa iri hati dan dengki terhadap golongan kaya serta memberi peluang kepada orang kaya untuk bersedekah kepada mereka.

Rasulullah SAW pernah bersabda,"manusia adalah seperti unta, seratus daripadanya tidak mempunyai penunggang". Manusia yang -teristimewa secara mutlak di dalam pemikiran serta kekuatan pada umumnya adalah jarang sekali, mereka adalah berada di peringkat kemuncak, di bawah mereka pula terdapat bilangan yang agak ramai, bilangan ter­sebut makin bertambah apabila kedudukannya hampir kepada peringkat bawah”. Jadi di sini jelas bagi kita bahawa kekuatan manusia bolehlah digambarkan dalam bentuk piramid di yang kemuncaknya adalah tirus dan bahagian bawahnya melebar luas.

Dalam hal ini agama Islam telah mengemukakan tiga sumber untuk memenuhi keperluan orang-orang yang berkehendakkan bantuan sehingga keperluan-keperluan mereka dapat dipenuhi. Sumber-sumber tersebut ialah:

i. Harta Baitulmal. Setiap kemasukan Baitulmal yang dikhususkan untuk orang-orang miskin adalah menjadi hak mereka dan wajib dikeluarkannya kepada mereka secara teratur.

ii. Sumber zakat. Pengeluaran dari sumber ini hendaklah didahulukan kepada fakir miskin dan mereka yang terputus perbelanjaan semasa dalam perjalanan, jadi mereka hendaklah diberi peruntukan dari harta zakat.

Keadilan sejagat ( antarabangsa )

Perhubungan di antara orang Islam dengan orang­ bukan Islam adalah dijalinkan atas dasar kasih sayang selagi mana ianya tidak bertentangan dengan Islam sepertimana yang dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya, maksudnya, "Allah tiada melarang kamu un­tuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama dan tidak pula mengusir kamu dari negeri kamu. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berlaku adil. Allah hanya melarang kamu menjadikan sebarang kawan kamu dari orang-orang yang memerangi kamu kerana agama dan mengusir kamu dari negeri kamu dan membantu untuk mengusir kamu, dan barangsiapa yang menjadikan mereka itu sebagai kawan, maka mereka itulah orang­-orang yang zalim "

Orang­ Islam mestilah menjalankan keadilan biar betapa kuat sekalipun permusuhan itu. Allah berfirman, maksudnya, "dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk tidak berlaku adil, berlaku adillah, kerana adil itu lebih hampir kepada takwa". Ertinya janganlah kerana kebencian yang melulu itu mendorong kita bersikap tidak adil, kerana keadilan adalah merupakan hak suci yang ditentukan dan sama-sama dinikmati oleh pihak musuh, dengan sebab itu apabila mereka melakukan permusuhan, maka undang-undang keadilan menghendaki supaya ditentang permusuhan tersebut selaras dengan firman Allah, "barang siapa yang menyerang kamu, maka serangilah ia selaras dengan serangannya terhadap kamu, bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa Allah berserta orang-orang yang bertakwa".

Inilah ulasan secara ringkas mengenai matlamat dan cita-cita yang dituntut oleh Islam untuk membentuk sebuah masyarakat harmoni yang dinaungi oleh unsur-unsur kebaikan. Segala didikan dan pengamalan ajaran Islam itu hendaklah diterapkan dalam setiap diri individu agar matlamat kemasyarakatan dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

Rujukan :

Penyusunan masyarakat dalam Islam

Ahad, 6 September 2009

Apa dah jadi dengan Malaysia?

Baru-baru ni rakyat Malaysia dikejutkan dgn isu pemindahan kuil Seksyen 19 ke Seksyen 23..penduduk di situ terasa bahangnya, kemarahan sehinggakan ada sesetengah pihak yang berpihak kpd Umno ini snggup untuk mengadakan demonstrasi yang boleh diibaratkan sbg tidak bertamadun..Hal ini kerana mereka berarak bersama2 dengan kepala lembu.apa simboliknya bagi kepala lembu itu?.bukankah lembu itu diibaratkan Tuhan bg agama Hindu..kononnya mereka yg mengadakan demonstrasi ini utk mempertahankan Islam..dgn bertakbir disana sini..sedangkan apa yang mereka lakukan ini adalah salah di sisi Islam.apakah ini yang dikatakan membela Islam?usah mimpi,,, kalau betul nk tegakkan Islam,nk pertahankan Islam,pakat-pakat kita tegakkan daulah(ngra)Islam dgn adanya sistem2 Islam,jgn kita memperlekehkan hukum Allah(hudud)..so,barulah betul kalau nk pertahankan islam..Ini tidak,sanggup menghina agama mereka (hindu),bagaimana pula kalau mereka menghina agama kita(islam)?

Bukankah Allah telah mengingatkan kita dalam firman-Nya yg bermaksud "Jgnlah kamu mencela atau memaki hamun sembahan mereka selain Allah,nanti mereka juga akan memaki hamun tuhan kamu kerana marah tanpa sebarang ilmu pengetahuan" al-An'am ayat 108..Allah itu amat mengetahui akan sesuatu..maka tidak mungkin & tidak mustahil kalau org hindu ini bangkit menghina Islam..so,jgn lah org2 sprt ini (umno) menyesal di kemudian hari..gara2 tindakan mereka ,seluruh umat Islam akn merasa akibatnya kelak..& mungkin tidak mustahil kalau2 kelak akan berulangnya peristiwa 13 Mei..

Cuba kita fikir sejenak,dalam kehidupan seharian kita,masjid di penempatan kita yg melaungkan azan sebanyak 5 kali sehari yg mana disekitarnya terdapat org yang bukan beragama Islam..pernahkah mereka memprotes tindakan kita dgn mengadakan demonstrasi.?fikirkan ...tetapi kita? begitu cepat melatah dengan mengadakan demonstarasi,dek kerana hal kuil..dah la plk 2 menghina agama lain..utk akhirnya...sedarlah manusia yg tersalah tindakan ini,jgnlah kita terlalu mengikutkan kemarahan nafsu,krn kelak kita yang rugi,jgnlah krn nila setitik rosak susu sebelanga..kerana tindkn sedemikian,memberi fitnah kpd agama..sdngkan Islam tidak mengajar penganutnya berbuat demikian..SELAMATKAN MALAYSIA,SELAMATKAN PERSELISIHAN