Khamis, 10 September 2009

perundangan Islam

Semua peraturan dalam ajaran Islam yang berteraskan kepada al-Quran dan al- Sunnah yang ditetapkan oleh Allah SWT adalah amat bersesuaian kepada hambanya dan ia merupakan perundangan yang teragung sekali bagi perundangan Islam.Dalam konteks sosial, adalah menjadi matlamat perundangan ini untuk melahirkan sebuah masyarakat harmoni yang merangkumi individu dan keluarga seca­ra keseluruhannya. Matlamat ingin menjadikan masyarakat yang sempurna mestilah dimulakan dengan didikan Islam terhadap individu muslim itu dahulu. Secara berperingkat, kesan daripada didikan tersebut akan melahirkan individu yang berkualiti dari kacamata Islam sehinggalah kepada masyarakat.

Fikiran umum yang baik.

Dalam melahirkan masyarakat Islam yang harmoni, proses pengasuhan jiwa dan budipekerti yang mulia hendaklah diterapkan dalam setiap diri anggota masyarakat. Justeru, pembentukan pemikiran umum yang baik memainkan peranan penting dalam mencapai matlamat kemasyarakatan ini. Menyeru kepada kebaikan dan menegah kepada kemungkaran adalah pemikiran umum yang perlu dibentuk dalam benak fikiran masyarakat kerana pemikiran umum inilah yang akan mengawasi segala tindak tanduk mereka sehinggakan mereka berani mengatakan kebenaran dan mengatakan tidak pada kemungkaran. Pembentukan pemikiran umum yang baik tidak sekali-kali akan mengecewakan individu kerana ianya memberikan kebaikan kepada masyarakat sekitarnya.

Justeru, Islam menggalak­kan penganutnya agar melakukan perkara-perkara yang makruf dan melarang melakukan perkara-­perkara yang mungkar. Islam juga menggesa penganutnya agar memberikan bimbingan dan pan­duan bagi menghalang orang yang sesat dari melakukan keburukan. Dengan adanya bimbingan dan pertunjuk dari orang-orang yang mulia, masyarakat akan berada dalam kebaikan. Dengan demikian, al-Qur'an menganggap "galakan untuk melakukan makruf dan melarang dari perbuatan mungkar" sebagai simbol atau tanda bagi "umat atau bangsa yang mulia", firman Allah, maksudnya: "kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia yang menyeru kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar dan beriman kepada Allah.

Islam menganggap orang yang melakukan kesalahan dan dosa sebagai penghancur dan perosak sendi-sendi masyarakat. Seandainya, orang-orang yang baik tidak menegur mereka, maka dibimbangi mereka akan terhumban dalam lembah keburukan dan di sebalik keburukan itu ialah kehancuran yang akan meruntuhkan sesuatu bangsa.

Islam juga menjelaskan bahawa perbuatan mendiamkan diri dari menyeru ke arah perkara makruf dan melarang daripada perkara yang mungkar akan membawa kepada perpecahan suatu bangsa dan akan memutuskan hubungan silatulrahim, hubungan kekeluargaan, bangsa dan agama di antara anggota-anggotanya, kerana keburukan akan membawa kepada perpecahan manakala kebaikan membawa kepada ke­satuan dan perpaduan.

Perpaduan dapat dibina atas dasar kebaikan. Sifat ini bukan sahaja dapat menjalinkan perpa­duan di antara individu di dalam suatu bangsa, malah ia dapat memupuk perpaduan di kalangan pelbagai bangsa. Andainya konsep "keadilan" dapat dipraktikkan dan dijadikan dasar dalam setiap negara, maka sudah tentu peperangan dapat dielakkan dan perasaan dengki serta iri hati antara masyarakat dunia akan turut lenyap. Andainya konsep "pemberian ikhlas" yang diasaskan kepada perasaan kasih sayang dapat, dijalankan antara negara- negara di dunia ini dan juga antara satu individu dengan individu yang lain, maka sikap mementingkan diri dan tamak kepada kekayaan harta benda dapat dielakkan. Bahkan, akan wujud perasaan mahabbah dan mengutamakan orang lain berbanding diri sendiri.

Keadilan merupakan teras dalam perundangan Islam. Tanpa keadilan, sistem sosial masyarakat Islam khususnya akan tidak sempurna. Firman Allah yang bermaksud, "sesungguhnya Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan membawa b,akti-bukti yang nyata dan telah Kami turunkan bersama-sama mereka al-Kitab dan neraca supaya manusia dapat melaksanakan keadilan dan Kami cip­takan besi yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan berbagai manfaat bagi manusia". Jadi, ber­dasarkan ayat ini jelaslah bahawa keadilan merupakan syiar bagi seluruh agama khususnya agama Islam yang dibawa oleh para Anbia..Keadilan itu terbahagi kepada tiga bahagian iaitu keadilan undang-undang, keadilan sosial (masyarakat) dan keadilan sejagat (antarabangsa).

Keadilan undang-undang

Apa yang dimaksudkan dengan "keadilan undang-undang" ialah bahawa undang-undang itu dikenakan ke atas semua orang secara sama rata tanpa dibezakan di antara yang kaya dengan yang miskin dan tanpa sebarang perbezaan berdasarkan warna kulit, bangsa mahupun agama, juga tanpa sebarang perbezaan di an­tara orang yang jahil dengan orang yang terpelajar, malah ke semua mereka adalah sama sahaja di sisi undang-undang.

Keadilan sosial

Keadilan sosial bertujuan supaya setiap orang dapat hidup di dalam masyarakatnya dengan kehidupan yang mulia tanpa sebarang penindasan dan juga memberi kesem­patan kepada mereka untuk memperguna kebolehan yang ada padanya untuk faedah diri dan juga untuk faedah masyarakat.

Keadilan sosial tidaklah bertujuan supaya ke­miskinan dapat dihapuskan dalam kehidupan ini, malah ia hanya bertujuan supaya dapat diringankan sedikit ke­sengsaraan yang dihadapi oleh golongan miskin supaya ia tidak merasa iri hati dan dengki terhadap golongan kaya serta memberi peluang kepada orang kaya untuk bersedekah kepada mereka.

Rasulullah SAW pernah bersabda,"manusia adalah seperti unta, seratus daripadanya tidak mempunyai penunggang". Manusia yang -teristimewa secara mutlak di dalam pemikiran serta kekuatan pada umumnya adalah jarang sekali, mereka adalah berada di peringkat kemuncak, di bawah mereka pula terdapat bilangan yang agak ramai, bilangan ter­sebut makin bertambah apabila kedudukannya hampir kepada peringkat bawah”. Jadi di sini jelas bagi kita bahawa kekuatan manusia bolehlah digambarkan dalam bentuk piramid di yang kemuncaknya adalah tirus dan bahagian bawahnya melebar luas.

Dalam hal ini agama Islam telah mengemukakan tiga sumber untuk memenuhi keperluan orang-orang yang berkehendakkan bantuan sehingga keperluan-keperluan mereka dapat dipenuhi. Sumber-sumber tersebut ialah:

i. Harta Baitulmal. Setiap kemasukan Baitulmal yang dikhususkan untuk orang-orang miskin adalah menjadi hak mereka dan wajib dikeluarkannya kepada mereka secara teratur.

ii. Sumber zakat. Pengeluaran dari sumber ini hendaklah didahulukan kepada fakir miskin dan mereka yang terputus perbelanjaan semasa dalam perjalanan, jadi mereka hendaklah diberi peruntukan dari harta zakat.

Keadilan sejagat ( antarabangsa )

Perhubungan di antara orang Islam dengan orang­ bukan Islam adalah dijalinkan atas dasar kasih sayang selagi mana ianya tidak bertentangan dengan Islam sepertimana yang dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya, maksudnya, "Allah tiada melarang kamu un­tuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama dan tidak pula mengusir kamu dari negeri kamu. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berlaku adil. Allah hanya melarang kamu menjadikan sebarang kawan kamu dari orang-orang yang memerangi kamu kerana agama dan mengusir kamu dari negeri kamu dan membantu untuk mengusir kamu, dan barangsiapa yang menjadikan mereka itu sebagai kawan, maka mereka itulah orang­-orang yang zalim "

Orang­ Islam mestilah menjalankan keadilan biar betapa kuat sekalipun permusuhan itu. Allah berfirman, maksudnya, "dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk tidak berlaku adil, berlaku adillah, kerana adil itu lebih hampir kepada takwa". Ertinya janganlah kerana kebencian yang melulu itu mendorong kita bersikap tidak adil, kerana keadilan adalah merupakan hak suci yang ditentukan dan sama-sama dinikmati oleh pihak musuh, dengan sebab itu apabila mereka melakukan permusuhan, maka undang-undang keadilan menghendaki supaya ditentang permusuhan tersebut selaras dengan firman Allah, "barang siapa yang menyerang kamu, maka serangilah ia selaras dengan serangannya terhadap kamu, bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa Allah berserta orang-orang yang bertakwa".

Inilah ulasan secara ringkas mengenai matlamat dan cita-cita yang dituntut oleh Islam untuk membentuk sebuah masyarakat harmoni yang dinaungi oleh unsur-unsur kebaikan. Segala didikan dan pengamalan ajaran Islam itu hendaklah diterapkan dalam setiap diri individu agar matlamat kemasyarakatan dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

Rujukan :

Penyusunan masyarakat dalam Islam

0 ulasan: