Selasa, 6 April 2010

Keamanan Perlu Dalam Merealisasi Dakwah?

Matlamat pengajaran Islam yang utama ialah untuk membina sebuah masyarakat yang harmoni. Hal ini kerana matlamat atau tujuan manusia yang lebih tinggi tidak boleh dicapai tanpa wujudnya suasana persekitaran yang aman dan damai dalam sesebuah kawasan atau penempatan itu. Pengembangan spritual dan juga moral setiap individu hanya boleh berlaku dalam persekitaran yang aman . Oleh itu, suasana yang aman dalam sesebuah penempatan masyarakat adalah sangat penting untuk pembinaan masyarakat yang baik.

Pelbagai penyelidikan dan pembangunan (R&D) hanya boleh dilakukan dalam keadaan yang aman. Malah tugas dakwah boleh dilakukan hanya dalam suasana yang aman . Itulah sebabnya mengapa salah satu pengajaran Islam mementingkan keamanan dan perdamaian. Sebagaimana ayat "mengadakan perdamaian itu adalah lebih baik" (Surah al Nisaa', ayat 128). Dalam hubungan ini, Islam memerintahkan kita supaya menegakkan keamanan dalam keadaan apa sekalipun, bahkan pada tahap suatu pihak itu terpaksa berkorban dan bersabar.

Sejarah Islam pada peringkat permulaannya, banyak menyediakan contoh dan peristiwa bagaimana semangat pengorbanan dalam sesebuah pihak atau kumpulan. Hakikat ini berlaku dalam perjanjian yang dikenali sebagai "Perjanjian Hudaibiyyah". Kenyataan ini benar, dan ianya merupakan satu perjanjian perdamaian yang menyelamatkan keadaan dengan menerima semua tuntutan kumpulan musuh.

Pembawaan kepada suasana keamanan dalam sesebuah masyarakat, Islam telah memberi banyak arahan ataupun perintah. Sebagai contoh, Rasulullah bersabda bahawa "orang Islam itu ialah mereka yang sejahtera sekalian orang Islam daripada (bahaya ancaman) lidah dan tangannya," (Riwayat Bukhari). Dalam suatu hadith yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda "demi Allah tidak sempurna iman, demi Allah tidak sempurna iman, demi Allah tidak sempurna iman, lalu ditanya, siapa (yang tidak sempurna imannya) wahai Rasulullah? Jawab baginda: iaitu orang yang tidak memberi ketenteraman kepada jirannya dengan sebab kejahatan yang dilakukannya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Antara matlamat Islam kepada penganutnya adalah bertujuan untuk membentuk semua individu agar berkasih sayang antara satu sama lain. Justeru, kita perlu berfikir, mengapa kita diperintahkan untuk menyebarkan salam dengan ucapan "Assalamualaikum" iaitu kesejahteraan ke atas kamu. Sudah tentu ianya ingin menimbulkan kasih persaudaraan dan kesejahteraan sesama orang Islam.

Menurut sabda Nabi s.a.w. dalam satu hadith yang lain bahawa "orang Islam yang paling baik ialah menyebarkan salam apabila bertemu, sama ada dia kenal atau tidak orang itu."

Pengulangan salam ini iaitu "Assalamualaikum" adalah kenyataan sebenar terjemahan daripada perasaan kedamaian yang ada dalam hati seseorang. Islam mahu menanamkan perasaan ini dalam setiap individu bahawa dia patut menjadi orang yang benar-benar pencinta keamanan, bertitik tolak bahawa perasaan ini bermula daripada hatinya dan diluahkan apabila dia bertemu dengan seseorang.

Islam adalah agama kasih-sayang daripada mula ia diwahyukan hingga ke akhirnya. Hal ini adalah kerana agama Islam itu merupakan agama yang sentiasa mengajak manusia ke arah perdamaian. Demikianlah ditegaskan dalam Islam bahawa sebagai umat Muhammad , hendaklah sentiasa mengajak semua peringkat manusia supaya sentiasa hidup dalam keadaan aman damai bagi mencapai matlamat yang lebih besar.

Landasan keharmonian dan keamanan ini diikuti oleh semua makhluk semesta alam. Dalam istilah sains, ia dikenali sebagai undang-undang alam, yang diaturkan oleh Allah S.W.T. Semua orang yang hidup di dunia ini terpaksa mengikut landasan ini mengikut kehendaknya sendiri. Hal ini dinyatakan oleh Allah di dalam al-Quran yang bermaksud: "Apakah mereka mencari agama yang lain daripada agama Allah, padahal kepada-Nyalah berserah diri segala apa yang di langit dan di bumi, baik dengan suka maupun terpaksa dan hanya kepada Allahlah mereka dikembalikan." (Surah Ali Imran, ayat 83).
Al-Quran telah menjelaskan kepada kita bahawa "Tidaklah mungkin bagi matahari mendapatkan bulan dan malam pun tidak dapat mendahului siang. Dan masing-masing beredar pada garis edarnya." (Surah Yaasin, ayat 40) .

Apabila Allah menciptakan langit dan bumi, Dia juga memerintahkan benda-benda lain bahawa masing-masing harus melaksanakan tugasnya dengan selamat tanpa pertembungan antara satu sama lain. Selama berbilion-bilion tahun, seluruh alam telah memenuhi tugasnya dengan harmoni sekali dengan peraturan Tuhan.

Keamanan bukanlah suatu benda luaran yang boleh dipakai oleh manusia secara tempelan. Keamanan adalah sifat semulajadi yang ada dalam diri manusia itu sendiri. Sistem alam yang ditetapkan oleh Allah dalam keadaan yang selamat dan aman. Jika sistem ini tidak diganggu, pasti ianya akan terus tetap berada dalam keadaan demikian demi mematuhi perintah Allah. Maka, jelaslah di sini bahawa untuk memelihara sistem hidup manusia atas landasan keamanan adalah melalui penjagaan yang bebas daripada unsur-unsur perpecahan.

Sebagaimana al-Quran menyatakan "... dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi sesudah Tuhan memperbaiknya." (Surah al A"raaf, ayat 85).

Penjagaan dan pemeliharaan keamanan, adalah dua perkara pokok yang telah digariskan oleh Islam. Pertama, di peringkat individu itu sendiri iaitu menekankan tentang amalan bersabar, dan satu lagi di peringkat masyarakat iaitu melarang daripada melakukan perbuatan yang ditegah dan dimurkai.

Tindakan-tindakan negatif pada segelintir pihak individu adalah faktor terbesar yang menyebabkan runtuhnya keamanan dalam kehidupan seharian. Perkara sedemikian seringkali terjadi dalam sesebuah masyarakat, kepahitan yang dialami oleh seseorang akan melibatkan orang lain pula. Dalam hubungan ini, jika seseorang bertindak secara negatif, perkara itu akan merebak seterusnya membawa kepada keretakan dan perpecahan. Sebab itulah Islam menekankan umatnya secara berulangkali dalam seruannya supaya mengikuti landasan kesabaran. Firman Allah dalam Surah Al- Zumar, ayat 10 bermaksud: "Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas."

Oleh kerana anugerah kesabaran itu begitu besar, maka kesabaran itu adalah unsur utama dalam memelihara sistem Allah iaitu keamanan. Dalam perintah yang lain, rangka kerja untuk memelihara keamanan dalam masyarakat manusia ialah dengan melarang melakukan tindakan menyerang orang lain. Tidak ada seorangpun dalam Islam suka melakukan tindakan menyerang terhadap muslim yang lain. Hal ini kerana manusia itu diciptakan dengan fitrah cintakan keamanan. Sekalipun mereka ini melakukan tindakan terkutuk itu, sudah tentu tidak ada tempat bagi mereka di sisi Allah.

Sebagaimana firman Allah bermaksud: "Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas." (Surah al Baqarah, ayat 190).
Hanya terdapat satu jenis serangan yang dibenarkan dalam Islam iaitu peperangan mempertahankan diri. Jika sesebuah negara melencong daripada dasar-dasar tabii (keluar daripada landasan keamanan), dengan melakukan serangan ke atas negara lain, maka serangan mempertahankan diri seumpama ini diharuskan oleh negara yang diserang dengan syarat-syarat tertentu. Ringkasnya, Islam adalah agama perdamaian. Perkataan Islam itu sendiripun memberi erti keamanan, keselamatan dan kesejahteraan. Firman Allah bermaksud: "Allah menyeru (manusia) ke Darussalam (syurga), dan menunjuki orang yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus (Islam)." (Surah Yunus, ayat 25).

Memang sudah menjadi kehendak Allah bahawa kita semua patut sama-sama menegakkan masyarakat yang aman dan damai dalam dunia ini. Keamanan adalah asas bagi semua agama terutamanya Islam yang suci dan tinggi agamanya.Marilah kita berjuang untuk menegakkan keamanan di dunia ini agar aktiviti yang berfaedah dan bermanfaat kepada kita dapat dijalankan dengan bertunjangkan kepada al-Quran dan al- Sunnah.

0 ulasan: