Selasa, 6 April 2010

Sedekah Mampu Mengerat Silaturrahim?

Sedekah merupakan amalan baik yang amat dituntut oleh Islam untuk diamalkan oleh penganutnya.Amalan sedekah boleh menambahkan lagi eratnya hubungan tali silatulrrahim
sesama insan. Allah SWT ada berfirman di dalam al-Quran, bahawa Allah amat menekankan keperluan dan peri mustahaknya orang kaya dan berkemampuan agar menghulurkan bantuan kepada orang yang miskin dan hidup di dalam keadaan serba kekurangan.

Firman-Nya dalam surah an-Nur ayat 22 bermaksud : " Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahawa mereka tidak akan memberi (bantuan) kepada kaum kerabat (nya), orang-orang yang miskin dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, tetapi hendaklah mereka memanfaatkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahawa Allah mengampuni kamu padahal Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

Selain dapat mengeratkan tali persaudaraan kekeluargaan, amalan bersedekah seperti memberi kuih muih dan buah-buahan kepada orang yang susah dan jarang-jarang bertemu makanan yang lazat dan berzat, akan mampu memberi mereka merasai kenikmatan makanan seperti ini. Cukuplah walaupun jarang-jarang, namun ia boleh memberi erti yang besar kepada mereka dalam merasai bunga-bunga kehidupan ini.

Amalan suka bersedekah adalah suatu amalan yang amat mulia dan terpuji, ianya telah menjadi satu ciri amalan orang-orang mulia terutamanya para nabi dan rasul serta orang-orang soleh sejak zaman berzaman. Para nabi terutamanya, adalah merupakan antara insan-insan yang sangat suka bersedekah. Mereka menjadikan amalan bersedekah seperti sama pentingnya dengan usaha mereka mencari kehidupan yang abadi. Bahkan mereka menjadikannya sebagai kamus hidup dalam kehidupan seharian mereka. Mereka seolah-olah merasakan tidak sah sekiranya kewujudan mereka di dunia ini tidak ada amalan suka bersedekah itu di dalam dairi hidup mereka.

Nabi-nabi sejak dari Adam as sampailah kepada Junjungan Besar nabi kita, Nabi Muhammad saw merupakan sumber kepada kehidupan kaum fakir dan miskin. Nabi Idris as menyedekahkan sebahagian besar hasil kerja jahitannya kepada kaum fakir miskin. Nabi Nuh as pula hidup bersama-sama kaumnya yang miskin dan makan bersama-sama mereka. Selain itu, Nabi Hud as dan Nabi Soleh as kebanyakan pengikut mereka adalah terdiri daripada orang-orang hina yang tidak mempunyai harta.

Nabi Ibrahim as merupakan seorang nabi yang apabila mahu makan, baginda akan mengundang sesiapa sahaja yang melintas di hadapan pintu rumahnya. Dipelawanya para tetamu itu untuk makan bersama-samanya. Kalau tidak ada sesiapa yang melintas, baginda akan keluar mencari tetamu sehingga tiga batu jarak dari rumahnya. Sekiranya tidak ada juga , barulah baginda akan makan bersama anak-anak dan isterinya.

Demikianlah perilaku para nabi dan rasul di dalam hal suka memberi sedekah atau pertolongan kepada mereka-mereka yang memerlukan. Persoalan di sini. kenapakah amalan bersedekah menjadi begitu mulia di sisi Allah? Bukankah dengan banyaknya orang bersedekah boleh menyebabkan membiaknya para peminta sedekah yang tentunya boleh menjejaskan hasil negara disebabkan lembapnya perkembangan ekonomi negara kerana ramainya orang yang menjadi kaum pemalas?

Bersedekahlah seberapa banyak pun, namun fakir miskin tidak akan bertambah. Begitu juga sekiranya tidak ada seorang pun manusia yang mahu bersedekah, namun orang-orang yang meminta sedekah tetap tidak akan berkurangan. Kenapa? Ini adalah kerana tabiat meminta sedekah bukan lahir atau terbit dari ramainya orang pemurah suka memberi sedekah, tetapi adalah kerana tabiat peminta-peminta sedekah itu sendiri. Apakah kita berani mengatakan bahawa orang yang rajin bekerja atau yang pemalas akan tergamak menyalin kulit membuang baju kehormatan lalu memakai baju kepemalasan semata-semata kerana mahu menjadi peminta sedekah disebabkan terlalu ramai para dermawan yang kaya raya memberi sedekah?

Kalau sudah ada harga diri lebih baik bekerja di tapak-tapak pembinaan bangunan daripada menjadi peminta sedekah. Percaya atau tidak? Kalau sudah mempunyai tabiat suka meminta sedekah, apa- apa yang dilakukan orang padanya tetap peminta itu menadah tangannya. Kerana sudah menjadi sifatnya hanya tahu meminta untuk menampung hidupnya. Kerana sudah menjadi pembawaan dirinya dilahirkan untuk meminta sedekah. Tidak mahu berubah untuk mengubah dirinya.

Sebagaimana manusia, binatang pun tidak semua tidak ada harga diri. Burung adalah contoh terbaik binatang yang mempunyai harga diri yang tinggi. Betapapun payahnya dalam mencari rezeki, burung tetap mengepak sayap menerjah awan ke sana ke mari tanpa menunjuk jerih atau payah dalam dirinya. Makanan tetap dibawa pulang ke sarang menyuapi anak-anak.

Kucing peliharaan juga adalah contoh terbaik binatang yang mencari makanan seperti peminta sedekah. Ia akan berbelit-belit melingkari kaki tuannya kerana mengharapkan makanan. Apapun yang diperlakukan oleh tuannya sementara memberi makanan kepadanya, ia akan tetap menerima dengan sabar dan tabah. Tendangan, tendanganlah. Terajang, terajanglah. Tidak mengapa pada fikirannya, asalkan nasi diberi kepadanya.

Di sini kita dapat lihat bahawa nilai hidup orang yang mencari makan dengan meminta sedekah dan dengan cara bekerja, ibarat kucing peliharaan dan burung yang berterbangan. Alangkah jauhnya identiti kedua-duanya. Bagaimanakah identiti kucing? Sudahlah mencari makan yang di tabur manusia, kalau kucing buangan, sudah tentu tempat mencari makanannya ialah di dalam tong-tong sampah, ditambah pula dengan badan yang kotor dan tidak sedikit dengan yang berkurap. Ini sesuailah dengan pengemis di kalangan manusia.

Berlainan dengan kehidupan burung,. Burung-burung tidak pernah ada yang berkurap dan di pandang hina. Bahkan burung-burung sering dijadikan pepatah yang melambangkan ketinggian martabat, keindahan serta kehebatan.

Burung helang dilambangkan dengan perlambangan gagah perkasa. Burung ketitir atau merbok dilambangkan sebagai bersuara merdu dan amat berharga. Burung merpati dilambangkan sebagai burung yang tangkas dan cekap serta boleh diharap untuk menyampaikan maklumat di era teknologi canggih belum wujud. Burung sitar pula dilambangkan sebagai penguasa awan dan begitulah lambang-lambang yang diberikan kepada para burung.

Adapun kucing-kucing dipepatahkan dengan ibarat-ibarat yang tidak indah dan tidak berada di garis keagungan. Kucing-kucing dianggap dalam pepatah sebagai berkurap dan perangai kucing yang tidak boleh diharap terutamanya dalam hal-hal moral. Bagai kucing dengan anjing adalah contoh terbaik dalam perumpamaan ini.
Sungguh indahnya kehidupan binatang untuk dipadankan dengan kehidupan manusia. Dari itu jelaslah kepada kita bahawa sikap suka bersedekah itu tidaklah akan.melahirkan kaum yang mampu melumpuhkan ekonomi negara, tetapi yang akan melumpuhkan kefakiran dan kemiskinan itu sendiri.

Dari itu untuk menggemarkan diri seseorang itu kepada amalan suka bersedekah perlu setiap individu muslim menyedari besarnya pahala kerana bersedekah. Dan amalan ini juga akan menyuburkan harta dan memanjangkan umur sebagaimana dinyatakan di dalam hadith Rasulullah saw.

Dari itu marilah kita memperbanyakkan sedekah kita sedaya yang termampu. Semoga dengan amalan yang mulia ini akan menjadi penyebab untuk kita dapat menggapai pintu syurga lalu membukanya dan terus masuk ke dalam untuk berlazat-lazat dengan nikmat-nikmat di dalamnya.

0 ulasan: